17 June 2010

Kad Ucapan Hari Bapa


Pada 17 Jun 2010 (Khamis), Aktiviti 'Kad Ucapan Hari Bapa' telah dianjurkan. Aktiviti ini diadakan sempena memeriahkan sambutan Hari Bapa yang jatuh pada 20 Jun (Ahad) berikutnya. Peserta dibekalkan dengan kertas atau 'template' kad sedia ada yang dicetak daripada Laman Internet.
Mereka dikehendaki mewarnakan dahulu kad ucapan tersebut sebelum digunting dan dilekatkan dengan gambar Bapa masing-masing. Peserta juga digalakkan menulis ucapan ringkas dan membuat lakaran tambahan pada kad ucapan tersebut. Setelah itu mereka boleh membawa pulang kad tersebut dan diberikan pada bapa masing-masing pada sambutan Hari Bapa nanti.

Aktiviti sebegini dapat memupuk sifat kasih sayang dan kekeluargaan dalam diri peserta. Aktiviti dimulakan pada jam 2.00 petang dan tamat pada jam 4.30 petang di ruang bacaan perpustakaan. Seramai 25 peserta telah menyertai aktiviti ini.

15 June 2010

Kuiz Hari Bapa: Perkataan Tersembunyi, Maze dan Susun Perkataan




Pada 15 Jun 2010 (Selasa), Aktiviti 'Kuiz Hari Bapa: Perkataan Tersembunyi, Maze dan Susun Perkataan' telah dianjurkan. Aktiviti ini diadakan sempena memeriahkan sambutan Hari Bapa 2010 yang jatuh pada 20 Jun (Ahad). Aktiviti Kuiz ini mengandungi 3 bentuk soalan iaitu susun perkataan, maze dan mencari perkataan tersembunyi.
Acara Kuiz terbahagi kepada 2 kategori mengikut peringkat umur iaitu Pertama- peserta berumur 8 -10 tahun dan Kedua- peserta berumur 11 – 15 tahun. Kategori pertama peserta dikehendaki menjawab 4 soalan kuiz iaitu mencari perkataan tersembunyi dan maze. Manakala kategori kedua juga dikehendaki menjawab 4 soalan kuiz iaitu susun perkataan dan juga soalan maze. Peserta juga digalakkan untuk menggunakan sumber rujukan yang ada di dalam Perpustakaan seperti kamus, ensiklopedia dan sebagainya.
Kesemua slot tersebut bertemakan sempena Hari Bapa iaitu memupuk kasih sayang dan kekeluargaan. Selain itu menguji minda para peserta untuk mendapatkan jawapan yang tepat. Pemenang dipilih berdasarkan jawapan yang tepat, kemas dengan ejaan yang betul. Hadiah telah disediakan oleh Pihak perpustakaan untuk pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi setiap kategori. Seramai 23 peserta telah menyertai aktiviti ini.

08 June 2010

Kraf: Lipatan Kasih


Pada 08 Jun 2010 (Selasa), Aktiviti Kraf: 'Lipatan Kasih' telah dianjurkan. Peralatan disediakan oleh perpustakaan seperti template kertas bentuk hati, kertas berwarna, gunting dan gam. Semua peserta adalah dari kalangan kanak-kanak dan belia. Seramai 30 orang peserta telah menyertai aktiviti ini. Petugas terlebih dahulu menunjukkan cara membuat lipatan atau anyaman tersebut kepada peserta menggunakan template sedia ada yang di cetak dari Laman Internet.




Saguhati penyertaan berupa alatulis turut diberikan kepada semua peserta. Hasil yang telah siap di ikat bersama dengan benang dan kemudian digantung pada kerangka diperbuat daripada straw sebelum digantung didalam perpustakaan sebagai hiasan.
Objektif utama aktiviti ini diadakan ialah untuk memberi keseronokan kepada semua peserta disamping mengasah bakat mereka dalam menghasilkan kraftangan anyaman kreatif dengan mudah dan cantik.

06 June 2010

Program Sempena Sambutan Pesta Kaamatan Kg Pomotodon, Dambai dan Malaka 2010


Sempena Sambutan Perayaan Kaamatan Kampung Pomotodon, Dambai dan Malaka 2010. Petugas Perpustakaan Desa PNM Pomotodon dan Ahli Kelab Perpustakaan Desa Pomotodon telah berkerjasama mengadakan Pertandingan Mewarna Tahap 1 (Sesi Pagi) dan Tahap 2 (Sesi Petang) pada 3 Jun (Khamis). Pertandingan Mewarna menggunakan lukisan berlatarbelakang gambar tempat-tempat menarik di Negeri Sabah. Manakala Kuiz Uji Minda Kaamatan pula diadakan pada 4 Jun 2010 (Jumaat).  Sebanyak 8 Soalan Kuiz berkaitan adat istiadat dan bahasa masyarakat Kaum Kadazan dan Dusun di Sabah.

Seramai 72 orang peserta telah mendaftar untuk menyertai aktiviti tersebut. Keseluruhan pertandingan tersebut diadakan di Ruang Membaca, Perpustakaan Desa Pomotodon. Penyertaan amatlah menggalakkan kerana telah diadakan dalam musim cuti sekolah.

                                                    Mewarna Tahap 1 dan 2


                                                             Kuiz Uji Minda Kaamatan

Program ini merupakan pertama kali dianjurkan oleh Kelab Perpustakan Desa dengan mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Perayaan Kaamatan bagi tahun 2010 ini. Yuran dikenakan kepada setiap peserta dengan bayaran serendah 50 sen bagi setiap penyertaan. Sebahagian hadiah telah disediakan oleh Kelab Perpustakaan Desa dan sejumlah kecil sumbangan berbentuk hamper untuk hadiah pemenang turut diterima sumbangan daripada penduduk setempat. Aktiviti yang telah diadakan secara keseluruhannya bertemakan Pesta Kaamatan.  

 

Acara penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disampaikan sewaktu Majlis Sambutan Perayaan Kaamatan Kampung Pomotodon, Dambai dan Malaka 2010 di Dewan Pisompuruan Kampung Pomotodon yang terletak bersebelahan dengan Perpustakaan Desa pada keesokan harinya iaitu pada 05/06/2010 (Sabtu).

Seramai lebih kurang 800 orang tetamu yang hadir dikalangan penduduk sekitar dan kampung-kampung bersebelahan. Jemputan khas untuk merasmikan majlis iaitu Yang Berhormat YB Johnny Goh selaku Adun Inanam. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah Pertandingan Melastik, Tarik Tali, Pertandingan Ratu Unduk Ngadau, Pertandingan Nyanyian Lagu Dusun, Tiket bertuah dan bermacam-macam lagi. Program sebegini secara tidak langsung dapat mempromosikan perpustakaan kepada tetamu yang hadir dan mengeratkan hubungan sesama penduduk dengan warga perpustakaan.